Keikhlasan membawa pengertian kejujuran iaitu sesuatu tindakan yang dilakukan untuk mencapai sesuatu tujuan tanpa mempunyai niat yang lain. Kejujuran menghasilkan tindakan tindakan yang asli tanpa kepura-puraan atau paksaan.
Dalam proses pembelajaran seseorang murid yang ikhlas tidak memerlukan apa-apa tekanan daripada pihak luar untuk balajar. Ia datang dari dalam diri sendiri atau kesedaran terhadap kelemahan diri yang memerlukan penambahbaikan.
Keikhlasan pada jiwa akan memberi kesan dalam kehidupan. Sebagai contoh, setiap murid haruslah bijak mengemukakan sesuatu persoalan atau buah fikiran yang mampu mempamerkan sifat keterampilan diri ketika berinteraksi dalam kelas.
Keengganan untuk turut serta dalam perbincangan atau bertanya ketika tidak memahami sesuatu topik pembelajaran dengan alasan malu atau tidak menghabiskan tugasan yang diberikan oleh guru dengan alasan tidak cukup masa akan hanya mengundang kerugian pada diri sendiri.
Persepsi hanyalah satu jangkaan atau ramalan yang dibuat untuk melambangkan pendirian kita terhadap sesuatu pengalaman yang berlaku. Sebagai contoh, terdapat segelintir murid yang memberi alasan bahawa mereka tidak boleh mencapai kejayaan kerana subjek tersebut dianggap susah serta tidak berkemampuan mempelajarinya.
Jangkaan ini kadangkala tidak betul kerana alasan yang diberikan hanyalah berdasarkan kepada satu atau dua pengalaman kegagalan yang pernah dilalui. Pengalaman seumpama ini tidak boleh dianggap akan terus berkekalan.
Berdasarkan contoh-contoh di atas jelas menunjukkan bahawa keikhlasan itu amat diperlukan ketika belajar. Jika seseorang murid tidak memehami sesuatu topik pembelajaran ia harus bertindak segera untuk menyelesaikannya tanpa memberi sebarang alasan yang boleh menghalang ke arah penyelesaian.
Kita harus berani menghadapi kenyataan dan kebenaran kerana kebenaran itu mampu memberi pengajaran dan bimbingan. Manakala seseorang yang takut akan kebenaran akan mencari helah untuk melakukan penipuan. Keikhlasan mampu meningkatkan kemajuan diri, sedangkan penipuan menghancurkan kehidupan.
~Santapan Minda, Dr. Ismail Zain~